Pautan Terhebat

Tuesday, December 13, 2011

4.2 Juta Rakyat Malaysia Berisiko Hidap Penyakit Ginjal Kronik

4.2 Juta Rakyat Malaysia Berisiko Hidap Penyakit Ginjal Kronik


KUALA LUMPUR: Seramai 4.2 juta orang atau 15 peratus daripada populasi rakyat Malaysia berisiko tinggi menghidap penyakit ginjal kronik (CKD), kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Hassan Abdul Rahman.

Katanya terdapat lapan golongan berisiko tinggi terhadap penyakit tersebut antaranya pesakit diabetes Mellitus, hipertensi dan golongan berumur 65 tahun ke atas.



"Langkah pemeriksaan dan pencegahan awal mampu menghalang penyakit hinggap ini kerana tiada simptom awal yang dapat dilihat," katanya ketika melancarkan buku panduan 'Clinical Practice Guideliness (CPG) Management of Chronic Kidney Disease in Adults' di sini, Selasa.

Buku itu diedarkan secara percuma dan boleh didapati di klinik-klinik kesihatan negeri dan seluruh jabatan kesihatan negeri. Ia merupakan buku ke-66 mengenai penyakit kronik yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan sejak 2000.

Sementara itu, Ketua Runding Kebangsaan Nefrologi (Buah Pinggang) Hospital Kuala Lumpur Datuk Dr Ghazali Ahmad berkata penyakit CKD itu terbahagi kepada lima peringkat dan kebanyakan pesakit hanya datang menerima rawatan apabila sampai ke peringkat terakhir. "Kerajaan membelanjakan hampir RM760 juta setahun untuk kos rawatan CKD ini mengikut perspektif kiraan Kementerian Kesihatan dan tidak termasuk kos-kos lain yang ditanggung oleh pesakit," katanya.

Kementerian Kesihatan memerlukan 173 pakar nefrologi setiap tahun bagi menampung bilangan pesakit kronik seramai 23,000 serta pertambahan 4,000 pesakit baru CKD setiap tahun, katanya.

Beliau juga memaklumkan seramai 23,000 pesakit dialisis telah didaftarkan untuk menjalani rawatan di seluruh negara hingga akhir tahun lepas dan 2,000 pesakit telah menjalani “transplan” ginjal dalam tempoh yang sama.

"Negara membelanjakan sebanyak RM50 juta setahun diperuntukkan untuk ubat-ubatan khusus berkaitan dengan transplan ginjal tidak termasuk kos-kos yang lain," katanya. - BERNAMA

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...